EMPLOYEE OF THE YEAR (EPISODE 1)
TAJUK : EMPLOYEE OF THE YEAR
GENRE : DRAMA
“Is, kamu tak nak cari kerja tetap ke?” tanya
ibu Iskandar. Iskandar hanya tersenyum lalu mengambil penyapu di hadapannya.
Iskandar menyapu halaman rumahnya. “Ibu,
Is kan ada banyak kerja sambilan yang Is kena buat. Is tak ada masa nak cari
kerja tetap. Tapi, nanti saya usahakan.” balas Iskandar. “Ibu bukan apa. Ibu tak nak lah tengok kamu
tu buat banyak kerja dalam satu hari. Gaji pun tak seberapa. Lebih baik kamu
cari kerja tetap. Lagipun, sampai bila kamu nak macam ni?” jelas Ibu. “Ibu, nanti Is fikirkan ya.” balas
Iskandar. Iskandar sudah menamatkan pengajiannya tetapi masih lagi tidak
mempunyai kerja tetap. Kini, dia cuma mengambil upah basuh baju, cuci kedai,
cuci pinggan dan lain-lain dalam satu hari. Dia mengharapkan dia akan menemui
jalan kesenangan di atas kesusahan yang dilaluinya.
Iskandar telah pergi ke temuduga untuk bekerja. Sudah dua
hari selepas temuduganya. Iskandar masih melakukan pekerjaan yang sama sambil
mengharapkan dia akan diterima bekerja di sebuah syarikat besar itu. Setelah
sabar menunggu, Iskandar mendapat tawaran bekerja di syarikat ITS Corporation.
Iskandar akan menjadi salah seorang pelatih selama dua bulan. Itulah hari yang
paling baik baginya.
Iskandar sedang
menunggu di hadapan ruang syarikat itu. Bukan Iskandar sahaja yang berada di
situ malah ramai lagi pekerja pelatih yang sedang menunggu di situ. Iskandar
memandang ke kiri dan ke kanan. Dia tidak berfikir panjang tetapi hanya
berharap tuah akan menyebelahinya. Seorang demi seorang nama pelatih dipanggil.
Iskandar masih lagi menunggu namanya dipanggil. Sudah hampir separuh nama
pelatih sudah disebut. Nama Iskandar masih lagi belum dipanggilnya. Akhirnya,
nama Iskandar langsung tidak dipanggil. Tinggal lah Iskandar seorang diri di
ruang hadapan syarikat itu. Tiba-tiba, Puan Zainizah yang merupakan ketua sumber
manusia dan pentadbiran memanggil nama Iskandar. “Iskandar Shah Harmaini, sila
ikut saya.” panggil Puan Zainizah. Iskandar mengikutinya. Iskandar melepasi
ruangan temuduga bersama dengan para pelatih yang lain. Iskandar merasa pelik. “Maafkan saya, Puan. Saya sepatutnya masuk
ke dalam ruangan itu kan?” tanya Iskandar. Puan Zainizah memandang ke arah
ruangan itu. “Oh, ruangan itu? Kamu
dikecualikan. Kamu akan ke sana.” kata Puan Zainizah sambil menunjuk ke
hadapan. Iskandar memandang pelik. Iskandar melihat bahawa arah yang
ditunjukkan Puan Zainizah tidak nampak seperti sebuah pejabat. Suasananya agak
gelap dan tidak teratur. Iskandar hanya mengikuti Puan Zainizah. “Juliana, ini pelatih baru kamu mulai hari
ini.” kata Puan Zainizah kepada seorang perempuan di situ. Perempuan itu
memandang Iskandar. Dia tersenyum. “Iskandar,
ini ketua kumpulan bahagian Teknologi Maklumat (ITD). Semoga menjalani hari
pertama dengan baik.” kata Puan Zainizah lalu menghulurkan kad pekerja
kepada Iskandar. Dia pun berlalu pergi dari situ. Iskandar merasa pelik. Kenapa
dia tidak seperti pelatih lain? Menjalani saringan dan ujian? Iskandar
merasakan situasinya amat pelik. Keadaan pejabat bahagian ITD juga tidak kemas
dan gelap. Kedudukan pejabat ini juga berada berasingan dengan pejabat bahagian
lain. “Nama?” tanya perempuan itu
ringkas. Iskandar bangkit dari lamunannya. “Iskandar.
Nama saya Iskandar.” jawab Iskandar. “Nama
akak Juliana. Boleh panggil Kak Jue. Selamat berkenalan.” kata Kak Juliana.
Iskandar hanya mengangguk setuju. “Okay.
Sekarang Is boleh buat kerja ni. Susun fail ni ikut susunan yang betul. Kak Jue
nak ke pejabat sekejap.” Arah kak Juliana sambil menghulurkan fail-fail itu
kepada Iskandar. “Susun?” bisik
Iskandar. Nampak agak mustahil kerana jumlah fail itu sangat banyak. Mahu tak
mahu, Iskandar perlu melakukan kerja itu kerana dia menganggap itu adalah
sebahagian daripada kerjanya. Iskandar pun memulakan kerjanya.
Sudah hampir satu
jam setengah juga Iskandar menyusun
fail-fail itu mengikut susunannya. Iskandar menoleh ke kiri dan ke kanan.
Iskandar mencari kelibat kak Juliana yang masih tidak kelihatan. Iskandar
memandang ke arah jam dinding yang berada di hadapannya. Iskandar berfikir
mungkin kak Juliana mempunyai hal penting di pejabat. Iskandar meneruskan kerjanya.
“Is, dah siap ke?” tanya kak Juliana
yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Iskandar memandang kak Juliana. “Dah nak siap. Sekejap lagi siap lah ni.” balas
Iskandar. “Is, ikut kak Jue sekejap.” kata
kak Juliana. Tanpa banyak tanya, Iskandar pun mengikuti kak Juliana. Mereka
berdua masuk ke dalam bilik mesyuarat. “Kak
Jue nak tanya satu soalan dekat Is. Tapi, Is jangan terasa pula.” kata Kak
Juliana. “Okay. Tak jadi masalah.” balas
Iskandar. “Is okay ke kerja dekat
bahagian ITD tu?” tanya Kak Juliana. “Kenapa
kak Jue tanya? Is okay. Tak ada apa masalah.” balas Iskandar. “Maafkan kak Jue cakap macam ni. Bahagian
ITD sekarang ni agak kurang memberangsangkan. Kak Jue tak rasa yang Is boleh
tahan kerja dengan kak Jue dekat sini.” kata Kak Juliana. Iskandar pelik.
Iskandar tidak berkata apa-apa. “Macam ni
lah. Is tahu kenapa Is tak macam pelatih lain? Yang menjalani prosedur syarikat
dulu? Dan Is tahu kenapa Is senang dapat kerja dekat bahagian ni tanpa
menjalani sebarang ujian?” tanya Kak Juliana. “Is tak tahu.” balas Iskandar. “Semua
disebabkan Is tak ada pengalaman bekerja sebagai pekerja tetap.” kata kak
Juliana. “Jadi, apa kena mengena dengan
bahagian ni?” tanya Iskandar. “Bahagian
ni akan ditutup tahun hadapan. Bila bahagian ITD dah ditutup, kak Jue dengan Is
terpaksa diberhentikan atau meletak jawatan oleh pihak syarikat. Mulai saat ni,
syarikat cuma nak pekerja yang berkebolehan demi keuntungan syarikat. Is faham
kan maksud kak Jue?” jelas Kak Juliana. Riak wajah Iskandar mula berubah.
Rupa-rupanya, pihak syarikat tidak merasakan bahawa dirinya layak untuk bekerja
di syarikat itu. Dia cuma dijadikan sebagai kambing hitam untuk menanggung
kesemua kerugian yang dialami oleh syarikat selama ini. Iskandar memandang kak
Juliana dengan senyuman. ”Is tak kisah,
asalkan Is dapat bekerja. Itu saja yang Is harapkan.” kata Iskandar. “Maafkan Kak Jue kalau Is jadi mangsa untuk
semua ni.” balas Kak Juliana. “Tak
apa. Sebenarnya masih ada peluang untuk kita perbetulkan semua ni.” kata
Iskandar. “Kita?” tanya Kak Juliana
pelik. “Ya, kita. Is kan dah jadi
sebahagian daripada staf syarikat ni. Jadi, Is akan tolong selagi Is mampu
untuk tolong.” kata Iskandar. Kak Juliana tersenyum. “Okay. Kalau macam tu. Selamat datang. Kak Jue harap Is dapat menjadi
rakan sekerja yang baik untuk bahagian ITD.” kata kak Juliana. Iskandar
tersenyum.
Iskandar dan Kak
Juliana agak sibuk menguruskan projek baru. Kerana kekurangan staf di bahagian
ITD, mereka berdua terpaksa bekerja lebih keras lagi untuk mendapatkan hasil
yang baik. Dalam diam, ramai staf di syarikat itu bercerita tentang bahagian
ITD. Ada yang mengatakan bahawa pelatih baru bahagian ITD terpaksa memikul
tanggungjawab yang dilakukan oleh bahagian ITD. Adakalanya, Iskandar merasa
kecewa dengan kata-kata mereka. Iskandar merasakan bahawa dia dianggap sebagai
insan yang lemah dan tak berdaya di syarikat itu. Tetapi, dia tetap positif dan
meneruskan pekerjaannya. Dia hanya menganggap itu adalah sebahagian daripada
rintangan dan ujian yang perlu dihadapinya. Suatu hari, semua ketua kumpulan
setiap bahagian dikumpul bersama dengan pelatih mereka. Pengurus atasan ingin
memberikan peluang kepada mereka untuk membuat projek yang mampu untuk
mendapatkan keuntungan besar buat syarikat. Tetapi, di dalam mesyuarat itu,
tiada yang mahu mengambil risiko itu. Jika mereka melaksanakan projek besar,
risiko yang akan dipikul juga agak tinggi. Iskandar meneliti projek itu. Dia
membaca dengan teliti isi kandungan projek itu. “Kak Jue, Is rasa projek ni memang menguntungkan. Apa pendapat Kak
Jue?” tanya Is. Kak Juliana hanya memandang Iskandar. Kak Juliana terus
mengangkat tangannya. “Kami bahagian ITD
akan melaksanakan projek itu.” kata Kak Juliana yakin. Semua orang yang
berada di situ mula riuh. Mereka seperti tidak yakin dengan bahagian ITD.
Pengurus atasan hanya mendiamkan diri tanpa jawapan. penolong pengurus, Encik
Husaini menangguhkan mesyurat itu. Encik Husaini terus memanggil Kak Juliana
dan Iskandar masuk ke dalam pejabatnya manakala yang lain kembali ke pejabat
masing-masing. “Saya tak setuju dengan
pilihan yang kamu buat. Saya tak akan benarkan kamu laksanakan projek ni.”
kata Encik Husaini. “Kalau Encik sendiri
tak setuju, kenapa panggil kami ke dalam bilik mesyuarat? Tak adil. Pihak
atasan dah bagi peluang kepada semua termasuk bahagian ITD untuk melaksanakan
projek tu. Kenapa Encik nak menghalang?” kata Kak Juliana tidak berpuas
hati. “Bukan saya nak menghalang tapi,
CEO pasti tak akan terima bahagian ITD yang laksanakan projek ni. Ini projek
besar. Kalau ITD buat silap sikit, syarikat akan rugi. CEO pasti tak nak
syarikat ni mengalami kerugian lagi seperti kejadian tahun lalu.” kata
Encik Husaini. “Itu kejadian tahun lalu.
Ya, saya mengaku ITD pernah buat silap tapi bagi kami peluang sekali lagi untuk
membuktikan bahawa ITD bukanlah bahagian yang kurang baik utk syarikat. Saya
mohon. Maafkan saya.” kata Kak Juliana lalu keluar dari situ. Encik Husaini
hanya mendiamkan diri. Iskandar terdiam. “Maafkan
saya.” ucap Iskandar lalu pergi dari situ.
Encik Husaini
berjumpa dengan CEO syarikat itu. “Apa?
Tuan bersetuju ITD buat projek tu?” tanya Encik Husaini pelik. “Saya tak kata saya setuju. Saya kata, biarkan
mereka buat. Dari situlah baru bahagian ITD akan mengetahui tahap kebolehan
mereka sampai mana.” perli CEO. Encik Husaini menunduk malu. “Maafkan saya, Tuan.” ucap Encik
Husaini. “Tak ada apa. Kalau mereka nak
buat sangat, serahkan saja semua maklumat tentang projek tu kepada mereka.”
kata CEO. “Baik, Tuan.” balas Encik
Husaini.
“Kamu boleh buat projek ni. Nah, ini
maklumat tentang projek tu.” kata Encik Husaini sambil menghulurkan fail di
tangannya kepada Kak Juliana. “Terima
kasih, Encik Husaini.” ucap Kak Juliana. “Juliana! Nampaknya CEO sedang mencabar bahagian ITD sekarang ni. Dia
sendiri mengharapkan untuk ITD gagal melaksanakan projek ini dengan baik. Tapi,
saya harap bahagian ITD dapat buat dengan baik. Buktikan.” kata Encik
Husaini. “Baik. Kami akan cuba yang
terbaik.” kata Kak Juliana. Encik Husaini tersenyum. “Ah, sebelum tu, saya nak minta tambah staf dekat bahagian ITD buat
sementara waktu ni, boleh?” tanya Kak Juliana. “Siapa yang kamu nak?” balas Encik Husaini. Kak Juliana hanya tersenyum.
“Is, perkenalkan ini namanya Kee Han dan
yang ini Kak Sue. Diorang akan tolong kita laksanakan projek ni.” kata Kak Juliana. Iskandar menyapa mereka berdua dengan
senyuman. “Selamat berkenalan.” kata
Kee Han. Kak Sue hanya tersenyum. “Kak
Jue, betul ke ni? Tapi, kenapa Kee Han? Macam mana kalau projek ni gagal?”
bisik Kee Han kepada Kak Juliana. “Belum
cuba, belum tahu hasilnya. Lagipun, kalau asyik fikir gagal je, gagal lah
keputusannya nanti. Nak jadi macam tu?” perli Kak Juliana. Kee Han tersenyum
malu. “Hehe, betul juga. Tak apa, Kee Han
akan cuba membantu tapi Kee Han tak nak buat kerja lebih masa.” gurau Kee
Han. “Ish! Nak penumbuk. Sama-sama buat,
sama-sama susah.” perli Kak Sue. Kee Han terus menyorok di belakang
Iskandar. Mereka hanya ketawa kecil.
Mereka memulakan projek itu dengan membuat pembentangan yang
akan dibentangkan dua minggu lagi. Walaupun ramai yang berkata ITD akan gagal
melaksanakan projek itu, mereka tidak kisah. Mereka hanya fokus kepada projek
itu. Dua minggu sudah berlalu, hari pembentangan akan dimulakan di hadapan ahli
lembaga yang lain. Semua bahan telah dipersiapkan. Teatpi, masalah pula timbul
pada saat-saat akhir. Kak Juliana masih lagi tidak sampai ke pejabat. Semua
orang merasa resah. Kak Juliana terperangkap di trafik. Jalan agak sesak. Dia
terpaksa meninggalkan keretanya dan berlari menuju ke syarikat itu. “Kak Sue tahu macam mana nak buat
pembentangan?” tanya Iskandar. “Kak
Sue tahu, tapi Kak Sue tak tahu susunan maklumat dalam PT tu.” kata Kak
Sue. “Haiyaa, macam mana ni? Kee Han pun
tak sure tentang susunan PT tu.” kata Kee Han kerisauan. Kak Juliana
menghantar mesej kepada Iskandar. “Kalau
Kak Jue tak sampai dalam masa terdekat ni, boleh Is handle tak pembentangan tu
sekejap? Kak Jue akan sampai sekejap lagi.” kata Kak Jue di dalam kiriman
mesej itu. Iskandar tidak yakin dengan dirinya. “Okay.” balas Iskandar. “Ha,
PT tu Is kan yang buat? Is handle pembentangan. Jangan risau. Kak Sue dengan
Kee Han akan bantu juga nanti.” kata Kak Sue. “Macam mana Kak Sue? Ini first time Is buat pembentangan.” kata
Iskandar. “Yakin. Itu je yang kak Sue
boleh cakap sekarang ni.” balas Kak Sue. “Betul. Yakin je. Is cuma kena cakap sampai Kak Jue sampai.” kata
Kee Han. “Okay. Is cuba.” balas
Iskandar. Akhirnya, mereka semua mula masuk ke dalam bilik mesyuarat. Mereka
mula menyiapkan bahan dan mula memaparkan PT kepada ahli lembaga yang lain. “Sekejap! Mana ketua bahagian kamu?” tanya
pengurus besar. “Dia akan datang sekejap
lagi. Dia ada hal sikit.” kata Kak Sue. “Tak
payah tunggu dia. Mulakan saja.” kata CEO. Mereka mengangguk setuju.
Iskandar mencapai mikrofon di hadapannya. Tangannya mula menggeletar. Dia mula
berpeluh. “Salam sejahtera kepada semua.
Saya Iskandar Shah Harmaini, wakil bahagian ITD akan memulakan pembentangan
projek ini.” ucap Iskandar. Semua ahli lembaga mula fokus kepada Iskandar. “Okay, err…pada permulaannya,err…pada
permulaannya,err…” gugup Iskandar. “Maafkan
saya, daripada tadi asyik pada permulaannya, tapi bila kamu nak mulanya.” perli
CEO. “Maafkan saya. Saya akan ulang
sekali lagi.” kata Iskandar. Iskandar mula menarik nafas panjang. Dia cuba
untuk bertenang. Kak Sue dan Kee Han juga cuba untuk menenangkan
Iskandar.Seperti keajaiban berlaku, Iskandar dapat membuat pembentangan dengan
lancar sekali. CEO juga terpegun melihat kebolehan Iskandar. Tak lama kemudian,
Kak Juliana sampai selepas tiga puluh minit masa pembentangan dilakukan.
Iskandar terus memberikan mikrofon kepada Kak Juliana. Kak Juliana terus
menyambung pembentangan itu. Sikap kerjasama dan tekad dalam diri mereka
berempat telah mencuri tumpuan semua ahli lembaga. Semua ahli lembaga mula
tersenyum. CEO hanya terdiam. Sepertinya, projek itu akan berhasil. Akhirnya,
mereka berempat berjaya melepasi peringkat sukar. Mereka menarik nafas lega. Keputusan
projek itu masih tidak diketahui. Mereka mengharapkan projek itu akan diterima
dan berjaya dilaksanakan.
Selepas dua
minggu,akhirnya keputusan telah diumumkan. “Bahagian
ITD. Pelatih bernama Iskandar Shah Harmaini, sila ikut saya.” kata Encik
Husaini. Kak Juliana, Kak Sue dan Kee Han pelik. Kenapa Iskandar dipanggil oleh
penolong pengurus? Iskandar terus mengikuti Encik Husaini. “Iskandar. CEO minta saya bagi surat ni dekat kamu.” kata Encik
Husaini sambil menghulurkan surat itu kepada Iskandar. Iskandar tidak berkata
apa-apa. Dia hanya langsung membuka surat itu lalu membukanya. Riak wajah
Iskandar berubah menjadi muram. Senyuman pahit ditunjukkan olehnya. “Terima kasih, Encik Husaini.” ucap
Iskandar. “Iskandar, kamu masih muda. Tak
dinafikan kamu memang seorang yang berbakat. Peluang kamu pasti ada diluar
sana. Percayalah. Dan, terima kasih juga. Kerana kamu, projek itu telah
diterima.” kata Encik Husaini. “Sama-sama,
Encik Husaini. Terima kasih untuk semuanya.” ucap Iskandar. Encik Husaini
hanya tersenyum. Iskandar pun melangkah keluar daripada pejabatnya. Iskandar
memandang daripada jauh. Kelihatan bahagian ITD seperti sudah mengetahui
tentang projek itu. Projek itu telah pun diterima. Mereka sangat gembira.
Iskandar pula sepatutnya menjalani latihan selama dua bulan tetapi, jangka masa
latihannya telah dikurangkan menjadi sebulan sahaja. Nampaknya, Iskandar akan
kembali seperti dulu. Seorang yang hanya mengambil upah demi kelangsungan
hidupnya. Tapi, dia masih berharap, akan ada sinar pada masa akan datang
untuknya. Itulah harapannya.
Orang yang berjaya
pasti pernah merasai kegagalan. Kerana, setiap kegagalan mematangkan kita.
Tidak semestinya juga, orang yang berada di atas akan kekal di atas kerana
orang yang di bawah pasti akan menggantikan tempat di atas. Itulah kehidupan.
Kita manusia hanya merancang dan berusaha. Selebihnya, kita berserah sahaja.
Suatu hari, kita pasti akan menemui pintu kebahagiaan di dalam hidup kita.
Comments
Post a Comment